Monday, February 16, 2009

PERGURUAN SENI SILAT SENDENG DUA BERADIK




SEJARAH PERGURUAN SENI SILAT SENDENG DUA BERADIK




Sejarah Seni Silat Sendeng Dua Beradik bermula di Kampung Paya Kumbuh, Pagar Ruyong Minangkabau, Sumatera, Indonesia dimana terdapat dua orang bersaudara bernama Che’ Amat dan Che’ Soh. Apabila meningkat dewasa, mereka berhajat untuk berkelana bagi menimba ilmu persilatan. Maka mereka mula berkelana menuju ke sebuah gunung yang dikenali dengan nama Gunung Sakti, dengan berbekalkan secupak beras seorang. Setelah penat mendaki gunung dan merentasi hutan, mereka kepenatan dan berehat di sebuah kaki air terjun lalu terleka apabila terlihat sekuntum bunga yang mengelak dari terjahan air yang deras tanpa cacat cela sedikit pun. Dalam keasyikan mereka memikirkan hal tersebut, mereka terlena seketika.














Cikgu Nazri bersama waris-waris Che' Soh

di Paya Kumbuh, Indonesia

Dalam lena yang pendek mereka bermimpi datangnya seorang lelaki tua berjubah putih mengajarkan mereka ilmu persilatan dan lelaki tua itu meminta mereka mendirikan sebuah bangsal yang lengkap dengan dinding dan bumbungnya. Setelah terjaga dari lena, mereka bercerita tentang mimpi mereka dan menggayakan apa yang telah diajar oleh lelaki tua itu. Selepas itu mereka terus mencari dan menebang pokok yang sesuai untuk membina sebuah bangsal. Lalu mereka pulang ke rumah tetapi masih merasakan ilmu yang dipelajari itu belum sempurna. Kemudian mereka berkelana semula selama tiga hari membawa secupak beras lagi, mereka membina sebuah bangsal yang dikatakan oleh lelaki tua itu. Setelah penat bekerja, mereka terlena lagi dan di datangi lagi oleh lelaki tua yang sama mengajarkan mereka bersilat. Setelah tiga hari berada di Gunung Sakti mereka pulang semula ke kampung kerana kehabisan bekalan makanan. Che’ Amat serta Che’ Soh mentelaah semula ilmu yang diajarkan dalam mimpi mereka itu. Akan tetapi mereka merasakan ilmu yang dipelajari itu masih belum lengkap dan sempurna, lalu dua beradik itu masuk ke hutan semula untuk menambah lagi ilmu persilatannya. Kali ini mereka membawa bekal secukupnya untuk bekalan selama seminggu. Apabila bermalam di hutan itu mereka sekali lagi didatangi lelaki tua mengajarkan ilmu persilatan. Mereka musykil siapakah guru tua itu dan benarkah kewujudan beliau. Mereka pulang lagi ke rumah dan berbincang tentang guru tua itu dan mentelaah semula ilmu yang dipelajari. Mereka tetap merasakan ilmu mereka belum cukup lagi, lalu mereka kembali ke tempat itu. Kerana kesungguhan mereka akhirnya bertemu juga dengan guru tua itu. Mereka begitu tekun belajar bersilat sehingga tamat tiga bulan. Mereka pulang ke kampung dengan perasaan sangat gembira dan berlatih lagi sehingga masak dengan gerak silat itu serta mengamalkan ilmu kebatinan yang dipelajari.

Berbaktilah mereka pada penduduk Kampung Paya Kumbuh dengan kepandaian mereka berdua itu. Pada suatu masa Sultan di Istana Pagar Ruyong mengadakan satu pertandingan bertujuan mencari panglima bagi Negeri Pagar Ruyong Minangkabau. Che’ Amat dan Che Soh tertarik dengan pertandingan itu dan ingin menyertainya. Semasa pertandingan berlangsung Che’ Amat dan Che’ Soh berjaya menewaskan lawannya satu persatu, sehingga akhirnya tinggal mereka berdua sahaja. Disebabkan mereka tidak mahu bertembung sesama saudara, Che Amat sebagai abang mengambil keputusan untuk keluar dari Negeri Pagaruyong dan Che’ Soh dilantik menjadi panglima istana.

Justeru itu Che’ Amat ingin mengembangkan ilmu persilatannya ke negeri lain, dengan itu Che Amat terus mengembara, beliau menyeberangi laut ke Tanah Melayu dan terus ke Kuala Tembeling, Pahang, pada tahun 1891 dan Che’ Amat mula menapak di Pahang sebagai pekerja buruh yang membina landasan keretapi. Ketika itu adalah zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Tentera British dari bangsa Benggali dan Gurkha semasa itu sememangnya gemar membuli pekerja-pekerja buruh. Che’ Amat melihat kejadian tersebut dan terpaksa ikut campur tangan. Kesabaran manusia juga ada hadnya, ini menyebabkan Che’ Amat hilang sabar untuk membela nasib golongan tertindas. Dengan pantas Che’ Amat berjaya menumpaskan tentera British. Tetapi selepas itu Che’ Amat ditangkap dan dipenjarakan. Orang Kaya Che’ Wan Musa merasakan Che’ Amat ini telah berjasa kepada orang Melayu di Kuala Tembeling khususnya pekerja buruh. Elok sekiranya ilmu persilatan dan ketangkasannya di ajarkan kepada pemuda-pemuda di Kuala Tembeling ini. Che’ Wan Musa telah mengikat jamin Che’ Amat.

Setelah bebasnya Che’ Amat, ramailah pemuda di Kuala Tembeling berjumpa dengannya kerana ingin belajar bersilat. Che’ Amat berbesar hati kerana sememangnya itulah hasrat beliau datang ke Tanah Melayu. Beliau menyuruh pemuda-pemuda pergi ke hutan untuk menebang pokok untuk mendirikan sebuah bangsal silat. Bangsal silat siap dibina dengan berdindingkan kayu hutan dan beratapkan daun nipah, maka Che’ Amat telah mula mengajar bersilat sehingga tahun 1891. Segala ilmu kependekaran telah diwarisi oleh anak Orang Kaya sendiri iaitu Che’ Wan Chik bin Che’ Wan Musa (Pendekar Wan Chik) dan beliau telah ditauliahkan untuk menjadi guru.


Che Wan Musa, Pendekar Che' Wan Chik dan cucu

Setelah ketiadaan Guru Che’ Amat, Wan Chik menyambung mengajar silat di Kuala Tembeling. Kehandalan silat Wan Chik ini sangatlah digeruni. Sehingga pada suatu hari Cikgu Jantan mudik ke hulu bertujuan mencari bapanya yang dikatakan lari ke Negeri Siam kerana Sultan Ahmad II mengisytiharkan Datok Bahaman telah menderhaka di atas desakan penjajah British. Apabila tiba di Kuala Tembeling, Cikgu Jantan singgah untuk berehat. Pada malam itu Cikgu Jantan pergi ke sebuah bangsal silat, semasa itu Pendekar Wan Chik sedang mengajar. Setelah melihat murid Wan Chik berlatih, Cikgu Jantan tertarik dengan silat itu dan ingin belajar. Walaupun anak Datok Bahaman ini sememangnya orang berilmu dan digeruni, namun ilmu tetap dititikberatkan. Cikgu Jantan mula belajar bersilat dengan Pendekar Wan Chik pada tahun 1916. Dalam hayat Che’ Wan Chik beliau telah menurunkan segala ilmu dan kepandaiannya kepada anak muridnya. Setelah tamat berguru dengan Wan Chik, Cikgu Jantan pulang ke Semantan (Daerah Temerloh). Cikgu Jantan mula mengajar bersilat di Kampung Paya Jejawi, Bukit Pinang, Kerdau. Kemudian silat ini terus berkembang di seluruh Semantan.






















Mat Hussin
b. Bahaman (Cikgu Jantan)

Cikgu Hj. Ismail Ali lahir pada 1918 mula belajar bersilat dengan salah seorang murid Cikgu Jantan, Cikgu Mat Nor. Disebabkan ingin merasakan sendiri buah tangan serta sentuhan Cikgu Jantan, Cikgu Ismail pergi berguru pula dengan Cikgu Jantan pada tahun 1939 sehingga ditauliahkan untuk menjadi guru. Ketika Cikgu Ismail belajar dengan Cikgu Jantan ketika itu Pendekar Long adalah guru kaka yang membantu mengajar. Sehinggalah pada suatu ketika dalam tahun 1946, Cikgu Jantan di datangi sekumpulan Komunis Bintang Tiga yang ingin menangkapnya. Pada masa itu Cikgu Jantan antara penentang kuat Bintang Tiga di Semantan (Temerloh), dan kehandalan Cikgu Jantan dan pengikutnya menjadi satu halangan besar kepada mereka. Apabila sampai ke kawasan yang dikatakan terletaknya rumah Cikgu Jantan, sekumpulan tentera Bintang Tiga itu hairan kerana mereka tidak melihat sebuah rumah pun di kawasan itu. Apa yang mereka nampak hanyalah hutan tebal. Komunis Bintang Tiga pulang ke markas mereka dan mengadukan hal itu kepada ketua mereka. Mereka fikir mereka telah ditipu penduduk kampung. Keesokan hari Bintang Tiga kembali lagi ke Kampung Durian Tawar dan memeras penduduk kampung menanyakan rumah Cikgu Jantan, penduduk yang ketakutan memberitahu letaknya rumah Cikgu Jantan. Bintang Tiga kurang percaya kerana ketika mereka ke kawasan itu, mereka hanya menemui sebidang tanah lapang. Selepas beberapa kali diyakinkan penduduk, mereka pergi sekali lagi ke kawasan yang ditunjukkan itu. Gerila Bintang Tiga masih lagi gagal menemukan rumah Cikgu Jantan itu. Kali ini mereka hanya nampak kawasan itu adalah sebuah tasik yang luas. Sekali lagi penduduk di seksa hanya untuk mengetahui rumah Cikgu Jantan. Seorang daripada penduduk memberitahu mereka harus bertemu dengan adik ipar Cikgu Jantan dahulu. Lalu mereka terus bergerak ke rumah adik ipar Cikgu Jantan dan anak saudara telah menunjukkan cara untuk ke rumah Cikgu Jantan. Apabila nampak sahaja rumah Cikgu Jantan, mereka terus memecah masuk dan mengikat anak-anak dan isteri Cikgu Jantan, akan tetapi Cikgu Jantan tiada di rumah pada masa itu kerana beliau pergi ke tebing sungai untuk berwudhu’ bagi mengimamkan keluarganya solat Maghrib. Apabila naik ke rumah beliau melihat kesemua keluarganya telah diikat. Gerila Bintang Tiga mengugut akan membunuh seluruh keluarganya jika Cikgu Jantan tidak mahu menyerah diri. Cikgu Jantan terpaksa untuk menyerah diri, beliau diikat dan di bawa ke markas Bintang Tiga dan ditanam hidup-hidup. Pada keesokan harinya mereka hanya menemukan batang pisang tertanam di tempat Cikgu Jantan di tanam itu. Selepas dari kejadian itu Cikgu Jantan terus menghilangkan diri tanpa diketahui khabar berita. Ada yang mengatakan beliau telah mati ditembak Bintang Tiga dan ada yang mengatakan beliau melarikan diri ke Terengganu, malah ada yang mengatakan beliau masih di Pahang.


Guru Sainuddin b. Kiram (Tukang Sai)

Patah tumbuh hilang berganti, Cikgu Ismail Ali pula lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mail Mata Merah itu, menyambung lagi pelajaran ilmu persilatannya serta ilmu perubatan tradisional dengan bapa saudaranya Guru Sainuddin bin Kiram. Guru Sainuddin yang tinggal di Kampung Paya Kechik lebih dikenali dengan panggilan Tukang Sai kerana beliau bekerja sebagai penempa emas. Tukang Sai berasal dari Kampung Pengian, Minangkabau. Buah silatnya lebih banyak kepada permainan di bawah dan banyak bergolek, ia berbeza dengan silat Cikgu Jantan iaitu permainan silat sendeng, ia banyak bermain di atas. Cikgu Ismail menggabungkan permainan sendeng dan Silat Pengian. Permainan Pengian ini agak keras kerana setiap geraknya memukul di tempat yang boleh melemahkan musuh. Cikgu Ismail belajar dengan Tukang Sai ilmu persilatan serta perubatan tradisional sehingga tamat pelajarannya dan beliau ditauliahkan. Beliau diberi amanah untuk mengembangkan warisan ini. Tukang Sai meninggal dunia pada tahun 1953.


Ketika Cikgu Ismail Ali bekerja sebagai penyelia pekerja membuat tali air di Daerah Pekan, Sultan Abu Bakar kenal kepada Cikgu Ismail kerana beliau adalah murid kepada Cikgu Jantan. Sultan memberi keizinan kepada Cikgu Ismail untuk membuka bangsal bagi mengajar bersilat di Daerah Di Raja itu. Namun begitu Cikgu Ismail masih belum bercadang untuk membuka bangsal silat sendiri. Pada suatu hari ketika Cikgu Ismail sedang menyelia pekerja membuat tali air, beliau berehat sebentar dan bersandar di sebatang pokok. Dalam leka mengelamun beliau terlena seketika. Dalam leka yang sekejap itu beliau bermimpi di datangi seorang tua berjubah putih dan menunggang seekor kuda putih yang mengatakan sudah tiba masanya untuk Cikgu Ismail mengajar bersilat.

Namun untuk menjadi guru silat bukanlah mudah, begitu banyak cabaran serta rintangannya. Ketika Cikgu Ismail menyatakan ingin mengajar bersilat, beliau telah disangkal oleh seorang jurulatih silat (guru kaka) salah satu perguruan silat di Daerah Pekan. Setelah bertarung beberapa kali dengan beberapa orang handalan di Pekan, ketangkasan Cikgu Ismail di perakui oleh penduduk dan diperkenan oleh Sultan. Beliau mula membuka gelanggang pada tahun 1946. Sepanjang beliau bekerja di Daerah Pekan beliau telah mengahwini seorang gadis yang berasal dari Kampung Pahang Tua. Sekembalinya beliau ke Temerloh beliau terus menyambung warisan dan membuka bangsal bagi mengajar silat di beberapa Kampung yang dibantu oleh lima murid kaka iaitu Cikgu Nazri, Ali Hussin, Tengku Ahmad Nordin, Sani dan Kamarulzaman (Tanmidji). Antaranya ialah Kampung Raja Songsang, Kampung Lompat, Kampung Berkat, di Maran, Kampung Lengkong, sehinggalah ke Kampung Janda Baik, Bentong. Pada suatu ketika di tahun 1980an ada seorang Sensei Kuntao di Batu 3 Temerloh, mendakwa dirinya kebal dan mencabar handalan-handalan di daerahnya. Akan tetapi tidak seorang pun yang berjaya mengalahkan sensei tersebut. Apabila hal ini diketahui Cikgu Ismail beliau pergi berjumpa sensei berkenaan dan menyatakan hasratnya ingin mencuba kehandalan Sensei itu. Dengan izin Allah dengan sekali tumbuk menggunakan tangan kiri Cikgu Ismail, Sensei itu rebah dan mengerang kesakitan.

Sejarah silat yang bertali arus maka hiduplah warisan budaya Melayu. Cikgu Mohamad Nazri b. Salleh yang berasal dari Kampung Paya Kechik adalah cucu kepada Tukang Sai (Sainuddin b. Kiram) lahir pada 1 Jun 1957. beliau mula melangkah belajar silat dengan Pendekar Long atau gelaran lainnya Cikgu Long di Kampung Kuala Sanggang pada umur 13 tahun. Ketika itu nama silat ini dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Asli Pahang. Di sebabkan kesempitan hidup dan kekurangan wang Cikgu Nazri tidak berkemampuan untuk membayar yuran belajar silat lalu beliau berkhidmat pada guru sebagai tukang masak keluarga Cikgu Long. Selama setahun beliau tinggal bersama Cikgu Long, belajar bersilat dan bekerja untuknya. Pada suatu hari, ketika Cikgu Nazri membantu gurunya Cikgu Long mengajar silat di Kampung Paya Kechik, Temerloh, bangsal silat telah dikunjungi oleh Cikgu Ismail. Cikgu Ismail memerhatikan murid-murid Cikgu Long berlatih dan dia sedar salah seorang daripada murid Cikgu Long adalah anak saudaranya. Cikgu Ismail meminta izin pada Cikgu Long bahawa beliau berhajat mengambil Cikgu Nazri sebagai muridnya dan ingin mengasuhnya. Cikgu Nazri belajar bersilat dengan Cikgu Ismail di Kampung Raja Songsang dan belajar Gendang Pahang dengan Pak Wa Zainal di Kampung Lompat. Di sebabkan Cikgu Ismail mengetahui di Negeri Perak juga terdapat silat yang namanya Silat Sendeng Asli, walaupun susur galur sejarahnya berbeza dan tiada sangkut paut dengan perguruan ini, Cikgu Ismail menukar nama perguruannya dengan nama Seni Silat Sendeng Terlak Lintar. Terlak Lintar yang bermaksud permainan kaki dan tangan.


Kanan : Pendekar Sani, Cikgu Mohd Nazri, Aki Seman, Cikgu Jantan, Pendekar Kamarulzaman (Tanmidji), En. Zainal

Naluri seorang guru begitu kuat, pada Cikgu Ismail merasakan Cikgu Jantan masih hidup. Sekitar tahun 1980an Cikgu Ismail bersama Cikgu Nazri pergi mencari Cikgu Jantan di beberapa tempat yang dikatakan beliau ditemui. Cikgu Jantan ditemui di Daerah Maran ketika Cikgu Ismail bersama Cikgu Nazri berehat minum di sebuah kedai makan. Tanpa diragui lagi murid begitu kenal akan gurunya walaupun wajah Cikgu Jantan begitu berbeza berbanding ketika beliau muda, Cikgu Jantan di bawa pulang ke Kampung Raja Songsang. Beliau di sambut dengan ramai penduduk kampung. Kenduri doa selamat dan tahlil tanda kesyukuran diadakan bagi meraikan kepulangan guru yang dikatakan hilang sejak puluhan tahun itu. Dua ekor kerbau ditumbangkan bagi merayakan majlis menyambut kepulangan Cikgu Jantan dan persembahan silat dihidangkan. Dalam ramai yang hadir, ada yang ragu akan kesahihan tentang kepulangan guru tua ini. Kerana wajah guru itu begitu berbeza dengan wajah ketika beliau muda, tanpa ada sedikit iras pun. Apabila bersalaman dengan Cikgu Jantan beliau berkata kepada orang yang meraguinya “ Kalau tok cayo ko kito, buat apo mari sini”. Kata Cikgu Jantan dalam dialek Kelantan. Bagi mengesahkan samada itu adalah Cikgu Jantan, Pakwa Akob dipanggil. Pakwa Akob cukup kenal dengan Cikgu Jantan. Apatah lagi Pakwa Akob seguru dan sebangsal dengan Cikgu Jantan. Sekilas ikan di air dah tahu jantan atau betina. Apabila melihat saja Cikgu Jantan, Pakwa Akob terus memeluk dan mencium Cikgu Jantan. Pakwa Akob menanggalkan baju Cikgu Jantan. Kesan parut pada badan Cikgu Jantan sewaktu mereka sama-sama bersilat dulu tidak dapat menyorokkan rahsia ini. Beliau menghilangkan diri untuk mengabdikan jiwa raga kepada Allah s.w.t. Beliau berpuasa selama empat puluh hari dan hanya berbuka dengan bertih jagung. Beliau bertahajjut, berzikir dan solat hajat meminta izin Allah mengubah raut wajahnya supaya tidak ada lagi orang boleh mengenalinya. Di sekitar rumah Cikgu Ismail ada sebatang pokok bidara, Cikgu Jantan terperasan akan pokok itu dan beliau menegur, “ Ah, ande lagi pokok bedare ni yak. Pokok ni jarang berbuah, kalau berbuah, besar buahnya” dalam dialek Daerah Temerloh. Cikgu Ismail mengiyakan kata-kata Cikgu Jantan itu dan berkata, “ Ha’ah, pokok ni lain sikit dari pokok-pokok lain”. Sebelum tidur, Cikgu Nazri sering memicit-micit badan Cikgu Jantan. Kata Cikgu Nazri, badan Cikgu Jantan keras macam guni beras. Cikgu Ismail pernah bercerita kalau ditanyakan soalan pada Cikgu Jantan, beliau sering mengulangi kata-kata ini, “Daripada Nur Allah, Nur Muhammad maka terjeli kepada lembaga Adam dan bersifatlah Adam. Dia dah semula jadi dah”. Jika orang yang kurang mengaji mungkin tak faham dengan kata-kata beliau. Setelah tiga hari bersama, Cikgu Jantan hilang semula. Kali terakhir beliau di temui di Kampung Durian Tawar bersama seorang lelaki tua. Apabila ditanya siapakah lelaki tua bersamanya itu, beliau menjawab lelaki tua itu adalah rakannya yang berbangsa Jawa. Walhal yang sebenarnya orang tua itu adalah bapanya sendiri, Datok Bahaman Orang Kaya Semantan.


Duduk Tengah: Cikgu Ismail, Cikgu Jantan, Pakwa Akob, Pakwa Janal; Duduk berpakaian silat;

dari kiri: Pendekar Tanmidji (Kamarulzaman), Pendekar Ali Hussin, Tengku Ahmad Nordin Tengku Ibrahim, Cikgu Nazri, Pendekar Sani


Wujudnya nama Seni Silat Sendeng Dua Beradik pula diambil sempena nama dua beradik yang mengembangkan dan menyebarkan silat ini dan cara permainannya sentiasa berkedudukan sendeng ketika berhadapan dengan musuh bersesuaian dengan falsafah silat yang di sebut oleh Cikgu Ismail “ tepat boleh sipi, sipi boleh lepas”, “silat dimati dengan buah, buah dimati dengan silat”. Dengan nama perguruan yang baru itu dapatlah membezakan Seni Silat Sendeng Dua Beradik ini dengan silat-silat sendeng yang lain. Nama perguruan yang dahulunya diberikan kepada perguruan silat yang di bawa oleh Guru Mahidin Adam dengan nama Seni Silat Sendeng Terlak. Kerana perguruan yang dibawa oleh Guru Mahidin Adam juga salah satu silat yang telah dikembangkan oleh Cikgu Jantan.



Waris dari keturunan Che' Soh menggayakan permainan
silat yang di perturunkan dari nenek moyang mereka


Oleh kerana naluri yang kuat untuk mencari waris keturunan dan tempat asal bertapaknya silat ini, maka pada tahun 1992 Cikgu Nazri bersama Cikgu Ismail dan Guru Aziz, guru utama Gayong 7 serta saudara terdekat pergi ke Pulau Bayor, Cerenti, Telok Kuantan, Sumatera. Pemergian mereka tidak sia-sia kerana dapat menemui orang-orang tua di Kampung Paya Kumbuh. Mereka masih mengetahui salasilah keturunan asal Seni Silat Sendeng Dua Beradik ini. Asas permainan mereka masih sama dengan silat yang di ajar oleh Cikgu Ismail. Di Paya Kumbuh mereka masih kuat berpegang pada adat. di. Di Kampung Pengian pula terdapat sebuah pondok di persimpangan jalan untuk masuk ke Kampung tersebut, di mana seorang lelaki tua menjaganya. Tidak boleh sembarangan orang boleh masuk ke kampung itu. Hanya orang tertentu sahaja di benarkan masuk. Mujurlah Cikgu Ismail membawa gambar Guru Sainuddin Kiram dan menyatakan tujuan ke sana atas urusan keluarga dan hendak mencari waris. Cikgu Ismail berpesan, jangan berhenti membeli makanan atau minuman sepanjang jalan untuk ke Kampung Pengian. Maka kesemuanya membawa bekalan makanan yang dibeli di bandar. Jalan hendak menuju ke Kampung Pengian agak jauh ke pedalaman. Jalannya ketika itu hanya muat untuk pejalan kaki dan basikal sahaja. Setelah bertanya kepada penduduk kampung tersebut rombongan Cikgu Ismail dan Nazri berjaya menemukan waris-waris Guru Sainuddin Kiram.


Cikgu Ismail bersama Cikgu Nazri di perkarangan Istana Pagar Ruyong, Minangkabau


Pada awal tahun 1990an Perguruan Seni Silat Sendeng Dua Beradik telah mengadakan majlis jubli emas dimana kenduri doa selamat telah diadakan bagi merayakan sudah 100 tahun silat ini bertapak di bumi Pahang. Pada tahun 1997 pula, Perguruan Seni Silat Sendeng Dua Beradik telah bekerjasama dengan RTM dan Yayasan Pahang bagi mendokumentarikan silat untuk digazet menjadi sebuah khazanah seni warisan silat yang berharga kepada Negeri Pahang malah mungkin kepada Malaysia. Dokumentari tersebut telah di simpan di Muzium Pekan. Bangsal terakhir Cikgu Ismail di perkarangan rumahnya di Kampung Raja Songsang pada tahun 1998, beliau meninggal dunia pada tahun 2000. Lima orang Pendekar telah lahir hasil dari didikan Cikgu Ismail, mereka adalah Pendekar Ali Hussin Gunilam Ali, Tengku Ahmad Nordin bin Tengku Ibrahim, Pendekar Sani b Marzuki, Allahyarham Pendekar Kamarulzaman b. Harun (Tanmidji) dan Cikgu Mohamad Nazri b. Salleh. Mereka ini di tauliahkan untuk menjadi pengganti untuk meneruskan warisan seni budaya Melayu. Pesanan Cikgu Ismail kepada pewaris silat ini “Kalau nak berbendang biar satu, jangan berbendang banyak. Kalau berbendang banyak, dijaga yang di ulu yang di hilir dilanggar kerbau. Kalau dijaga yang di hilir, yang di ulu makan dek burung”. Lebih 30 tahun Cikgu Nazri serta rakan-rakan bersama Cikgu Ismail membantu mengembangkan silat ini, dan kini Cikgu Nazri mula membuka bangsal silat sendiri pada tahun 2002 di Kampung Batu Kapor, Mentakab. Dalam generasi kini sudah beberapa buah bangsal di beberapa buah kampung lagi antaranya di Kampung Paya Luas (2003-2006), Kampung Belengu(2007) dan Kampung Paya Kechik (2009). Keaslian silat dan konsep tradisional masih di kekalkan sehingga kini yang merangkumi permainan, adab, adat, seni budaya.

Sehingga hari ini silat ini masih lagi dibuka dengan cara tradisional, dengan cara ini dapat mengekalkan keaslian silat. Selain itu, ia juga boleh di ajar dalam tempoh enam belas hari, tiujuh hari dan tiga hari. bagi yang berminat untuk mempelajari atau ingin membuat tempahan demonstrasi silat ini di tempat anda sila hubungi
:


Tel no :
019 - 9906744
(Cikgu Nazri)
Tel no : 019 - 9359710 (En. Rosli)
Tel no : 012 - 012 - 9891270 (En. Razif)


Penulis : Muhammmad Khairul Naim b. Mohamad Nazri









14 comments:

  1. Salam,
    Selain itu, ia juga boleh di ajar dalam tempoh enam belas hari, tujuh hari dan tiga hari. Bolehkah sy tahu maksud sebenar & bagaimana caranya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya Naim penulis blog ini. maaf atas kesibukan dan terlalu lama tidak mengemaskini blog ini, saya terlupa password.

      cucupang5semantan: 3 bulan adalah pelajaran asas permainan seni dan permainan silat. 16 hari adalah asas kpd buah pukul dlm silat ini sebanyak 16 jenis buah. pelajaran 7 hari atau dipanggil buah 7 hari adalah pelajaran Bunuh Buah. di mana ia membunuh Buah 16 tadi. dan pelajaran 3 hari adalah dikenali Bunuh Gerak. dimana ia membunuh buah 7 hari dan buah 16 hari. dan pelajaran selanjutnya, setelah tamat pelajaran 3 bangsal bersilat. pelajar dan guru akan mentelaah silat. cara permainan, gerak langkah, dan segala kemungkinan dlm tipu helah musuh. juga mempunyai pelajaran senjata seperti Kayu galah sepanjang 5 kaki, belantan, parang, badik dan rahsia permainan keris dan di sertakan pelajaran kerohanian dan kebatinan pada murid yg layak menerimanya.

      untok info lanjut anda boleh menghubungi saye (Naim) di no tel 017-9520173 atau abah saye selaku Guru Utama Cikgu Nazri / Pokde Yie : 019-2921148

      Delete
  2. Aslkm, kami dari www.alamketuananmelayu.blogspot.com mengucapkan jutaan taniah dlm keSabaran tingkat tinggi memelihara khazanah warisan kami juga. Kami di KL ni adalah anak buah Dat0'Bahaman yang kini sedang menunggu "signal" panggillan terakhir pd thn 2012 sebelum atau selepas PRU 13. Dat0'kita dah tahu 'semua' kan? Salam99 SilaTulrahim kita bertemu di Pahang nanti.Takbir313!

    ReplyDelete
  3. aslmkum...mcm xcayer ja..ade org wat dekomentari camnie ttg aki koi tu( aki mail)..

    ReplyDelete
    Replies
    1. aa.. aok waris dia beloh sape ? beloh abg Gie ke Pokde Yie? - naem nazri

      Delete
  4. Aki koi, kami semua anok beranok semua bangga tentang sejarah dan salasih keturunan kita, moga seni silat sendeng 2 beradik terus berkembang.Al-fatihah

    ReplyDelete
  5. Alfatihah buat Arwah Pakcik Mail,Dan arwah abah Shafie bin Hj Ali.
    P/S: Hj Ali dan Tukang Sai adalah adik beradik.
    saya dari salur Hj Ali.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Al-fatihah.. semoga roh arwah dirahmati Allah dan tergolong dalam orang² beriman dan beramal soleh.

      maaf, saya kurang pasti tentang cerita tu.. kalau mcm tu Hj. Ali dgn Tukang Sai (tok yang) saya tu, berdua datang dari Kg. Pegian (Pangean), di Pagaruyong ke ?

      saya dari salur Tukang Sai, abah saya Cikgu Nazri adalah cucu kepada Tukang Sai - naem nazri

      Delete
  6. Assalamualaikum...
    koi cucu kepada hj mail.ank kpd arwah norrizan bt hj ismail.al fatihah buat arwah tok mail juga ibunda tersayang serta arwah tok pie (shafie bin hj ali).

    Untuk pengetahuan sejarah tulen SENI SILAT SENDENG DUA BERADIK ada di tangan ustaz wahab dimana sejarah tersebut ditulis sendiri oleh arwah tok koi(hj ismail bin hj ali) kepada ustaz wahab.

    P/S:semoga silat ni dipertanggungjawab dan dipelihara sepenuhnya oleh mereka yg berpegang pada amanat serta tunjuk ajar dari arwah tok (hj ismail bin hj ali) supaya dikekalkan keaslian serta susur galur sejarah SENI SILAT SENDENG DUA BERADIK ini.sekian

    ReplyDelete
  7. Aslkm sekelian semua, Salam dari kami dari blog KEMEGA dan anak2 buah Dat0' Bahaman kini sedang bersiap siaga PRU ke13 bakal tiba dgn perpecahan dan perceraian MelayuIslam ketahap maksimum punah-parah nya! Kedua2 umno dan pas telah berjaya digunapakai oleh zi0nis, barat, musuh2 melayuIslam seperti terjadi di singapura dulu dgn PAP; kini DAP merampas melayuIslam Pulau Pinang dan juga menanti negeri teman pula yakni Perak selepas itu Melaka dan Pahang...Sediakan "payung sebelum hujan" banjir terbesar KL pd 2012 mendatang sepertimana siam kafirun laknatullah pun dgn khianat kpd kaum hawa kerah-perah pelacuran terbesar hampir 100%dipaksa dgn banjir bersejarah kini; tetapi kita disini dgn berbilang kaum dan agama pula...?!? Siap-siaga bertaubat selalu lalu perpegang pd tali Allah SWT.! Kali terakhir banjir diKL ialah selepas 13 Mei 1969 dahulu dan juga selepas kepergian Pendita Mat Kilau. Hidup melayuIslam313.99.33.13.9

    ReplyDelete
  8. saya Naim penulis blog ini. maaf atas kesibukan dan terlalu lama tidak mengemaskini blog ini, saya terlupa password.

    cucupang5semantan: 3 bulan adalah pelajaran asas permainan seni dan permainan silat. 16 hari adalah asas kpd buah pukul dlm silat ini sebanyak 16 jenis buah. pelajaran 7 hari atau dipanggil buah 7 hari adalah pelajaran Bunuh Buah. di mana ia membunuh Buah 16 tadi. dan pelajaran 3 hari adalah dikenali Bunuh Gerak. dimana ia membunuh buah 7 hari dan buah 16 hari. dan pelajaran selanjutnya, setelah tamat pelajaran 3 bangsal bersilat. pelajar dan guru akan mentelaah silat. cara permainan, gerak langkah, dan segala kemungkinan dlm tipu helah musuh. juga mempunyai pelajaran senjata seperti Kayu galah sepanjang 5 kaki, belantan, parang, badik dan rahsia permainan keris dan di sertakan pelajaran kerohanian dan kebatinan pada murid yg layak menerimanya.

    untok info lanjut anda boleh menghubungi saye (Naim) di no tel 017-9520173 atau abah saye selaku Guru Utama Cikgu Nazri / Pokde Yie : 019-2921148

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum, saya pelajar dari UiTM Shah Alam dalam jurusan seni lukis & seni reka, Untuk projek major, sy ingin mengkaji tentang silat sendeng. Tujuan kajian ini adalah untuk mempromosi & menghebahkan seni silat tradisional ini kepada masyarakat luar agar seni silat ini lebih dikenali secara tidak langsung menarik minat mereka untuk mempelajari silat ini. Saya ingin memohon bantuan kepada siapa-siapa yg sudi untuk bekerjasama dengan saya. Kini saya berada di Shah Alam, dan saya tidak tahu ke mana ingin saya pergi untuk menjalankan kajian. Saya sangat mengharapkan bantuan daripada sesiapa sahaja dalam menyelesaikan projek mojor saya ini. Bantuan anda amat saya hargai.

    jika ada yg sudi membantu, sila email saya
    abdulhannanishak@yahoo.com

    atau

    facebook
    narutimatix@yahoo.com

    sekian, terima kasih..

    ReplyDelete
  10. Boleh tahu kalau ada gelanggang di kawasan Pekan, pahang

    ReplyDelete
  11. assalamualaikum saya ingin bertanya,sejak bilakah cikgu nazri bin salleh (Pok De Yei) ditauliahkan menjadi guru?Pada tahun berapa?Adakah semasa Cikgu Mail masih hidup? "Pandang yang satu nampak yang banyak,Pandang yang banyak nampak yang satu" Salam الم

    ReplyDelete